
Laporan/foto: Evelyn Lungan/Clarence Chin (Sarawak)
BELAGA, 7 April (MalaysiaAktif) – Inap Desa Uyan Lawing di Uma Baha, Apau Koyan di sini memainkan peranan memperkenalkan keunikan budaya masyarakat tempatan kepada pelancong ketika ia terus menerima kemasukan pelanggan.
Pemiliknya, Cr. Lawing Luat, 63, berkata pelanggan dari Semenanjung Malaysia, Sabah serta luar negara semakin mengenali kehidupan masyarakat di kawasan pedalaman Belaga menerusi pelbagai aktiviti kebudayaan yang dianjurkan yang memberi pengalaman bermakna kepada mereka.
“Antara aktiviti yang dijalankan ialah tarian ngajat, demonstrasi adat resam serta program komuniti supaya pelawat dapat merasai sendiri suasana kehidupan di rumah panjang,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini semalam.
Beliau berkata inap desa itu yang diusahakan bersama isterinya Uyan Anyie , 65, menampilkan konsep berteraskan budaya dengan mengetengahkan keunikan tradisi serta cara hidup masyarakat Orang Ulu
“Kami turut menawarkan pengalaman merasai keindahan warisan budaya Borneo dalam suasana kampung yang tenang,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata promosi oleh agensi pelancongan termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) turut membantu meningkatkan kehadiran pelanggan.
Usaha pasangan ini membuktikan bahawa inisiatif inap desa mampu menjana ekonomi komuniti luar bandar, selain memelihara warisan budaya untuk generasi akan datang.
-FN





