
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 7 April (MalaysiaAktif) – Seorang lelaki kurang siuman yang ditemui di kawasan Tebingan Sri Aman, di sini hari ini, berjaya diselamatkan dan diserahkan kepada keluarganya menerusi Op Gelandangan.
Jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Sri Aman berkata lelaki warga tempatan berusia 46 tahun itu diselamatkan hasil kerjasama dengan polis.
“Pihak berkuasa bertindak pantas dengan membawa individu berkenaan ke tempat perlindungan sementara sebelum diserahkan kepada JKM Sri Aman serta dirujuk ke Hospital Sri Aman bagi pemeriksaan kesihatan dan rawatan psikiatri
“Hasil tindakan susulan, individu tersebut dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan stabil sebelum berjaya diserahkan semula kepada ahli keluarganya di Betong,” katanya kepada Malaysia Aktif selepas operasi tersebut.
Operasi proaktif berkenaan dilaksanakan bagi menangani isu gelandangan serta menyantuni individu yang memerlukan bantuan kebajikan di kawasan awam, sekali gus menjamin keselamatan dan kesejahteraan komuniti setempat.
Sementara itu, Temenggong Kueh Aik Seng memuji tindakan pantas pihak berkuasa dalam memastikan kawasan tarikan pelancong seperti Tebingan Sri Aman kekal selamat dan selesa untuk kunjungan orang awam.
“Kerjasama antara polis dan JKM ini amat penting, bukan sahaja untuk menjaga imej bandar kita, tetapi untuk memastikan individu yang mengalami masalah mental atau gelandangan ini mendapat pembelaan dan rawatan yang sepatutnya, bukannya dibiarkan tanpa pengawasan.
“Saya juga menyeru kepada ahli keluarga yang mempunyai ahli waris dengan masalah kesihatan mental agar sentiasa memantau pergerakan mereka bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.
-FN





