
Laporan/foto: Safik Effendi (Sarawak)
KUCHING, 17 April (MalaysiaAktif) – Kerajaan Sarawak mengumumkan pakej bantuan khas kewangan berjumlah RM876.2 juta bagi melindungi rakyat daripada kesan rantaian krisis tenaga dan ekonomi global.
Inisiatif strategik itu dirangka khusus bagi menangani peningkatan kos sara hidup kesan daripada ketidaktentuan iklim geopolitik dunia yang berpunca daripada konflik di Timur Tengah.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata tekanan global telah mengakibatkan kenaikan pelbagai kos operasi yang memberi kesan langsung kepada kehidupan harian rakyat.
“Kerajaan mengambil langkah proaktif ini untuk memastikan kesejahteraan rakyat serta kelangsungan sektor perniagaan terus terpelihara,” katanya pada sidang media di Kompleks Satria Pertiwi, di sini semalam.

Kenaikan peruntukan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) yang diumumkan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Teras utama bantuan melibatkan peningkatan peruntukan program Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) kepada RM680 juta berbanding peruntukan asal RM543.8 juta.
Melalui peningkatan itu kategori isi rumah akan menerima RM1,100 manakala warga emas menerima RM600 dan individu bujang menerima RM375.
Hampir 900,000 penerima layak bakal menikmati inisiatif tersebut yang akan disalurkan menerusi tiga fasa bermula Mac, Mei dan November 2026.
Beliau berkata kerajaan turut melaksanakan diskaun bil elektrik sebanyak 25 peratus khusus untuk 714,557 pengguna domestik bermula April hingga Disember depan.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut mengumumkan diskaun khas elektrik kepada pengguna domestik sebanyak 25 peratus.
Langkah itu melibatkan kos tanggungan kerajaan bernilai RM188.1 juta bagi membantu mengurangkan beban utiliti bulanan rakyat di seluruh negeri.
Sektor perniagaan turut menerima manfaat melalui tawaran diskaun sewaan premis sebanyak 50 peratus kepada para peniaga dan penjaja yang menyewa di gerai milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Kemudahan diskaun sewaan tersebut turut dipanjangkan kepada premis perniagaan milik badan berkanun negeri termasuk Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), dan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA).
-RJ-





