Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

DBKL Tawar Tunai Bagi Pelupusan Sukarela Kenderaan Tersadai

By 17 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Muhaimin Musa/Muhammad Azrul Hafiz Mohamad Nazri

KUALA LUMPUR, 17 April (MalaysiaAktif) – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini mengorak langkah lebih agresif dalam menangani isu kenderaan tersadai dengan menawarkan ganjaran tunai antara RM100 hingga RM2,000 mengikut jenis dan keadaan kenderaan.

Kerjasama strategik bersama Tetuan Car Medic Sdn. Bhd. yang disokong sistem e-Dereg membolehkan pembatalan pendaftaran dilakukan secara sah dan pantas, sekali gus memudahkan urusan pemilik tanpa perlu melalui birokrasi yang rumit.

Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri TPr. Fadlun Mat Ujud, kawasan Perumahan Awam (PA) DBKL menjadi tumpuan pelaksanaan awal program.

“Bagi fasa permulaan, tumpuan khusus diberikan kepada kawasan PA DBKL dan kawasan strata yang mencatatkan sebanyak 1,159 kenderaan buruk setakat hujung Mac lalu,” katanya, di sini semalam.

Katanya, langkah tersebut penting kerana lambakan kenderaan terbiar bukan sahaja menyakitkan mata memandang, malah sering menjadi tempat pembiakan nyamuk serta haiwan berbisa.

Tambah Fadlun lagi, DBKL tegas terhadap pemilik yang masih berdegil dengan meneruskan prosedur penguatkuasaan yang sedia ada.

“Setiap kenderaan yang dikenal pasti menghalang laluan akan diberikan notis pengalihan terlebih dahulu sebelum tindakan tunda diambil.

“Jika ditunda, pemilik perlu menanggung kos yang tinggi termasuk kompaun sehingga RM500, kos pengangkutan, dan caj simpanan harian. Sekiranya tuntutan tidak dibuat dalam tempoh ditetapkan, kenderaan tersebut akan dilupuskan sepenuhnya di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974,” katanya.

Menurut pemilik kenderaan Hasnah Othman, 50, program tersebut sangat bermanfaat kerana memberikan tukaran wang tunai kepada kereta yang lama tidak digunakan.

“Kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) ini memang banyak kereta. Bila kereta kita tak jalan tapi duduk di situ, orang lain nak parkir (kawasan meletak kenderaan) pun susah. Balik malam-malam lagi lah penat nak cari tempat parkir. Jadi, daripada terbiar macam itu sahaja, lebih baik kita lepaskan untuk kegunaan orang lain pula,” katanya.

Dengan kapasiti simpanan melebihi 3,000 unit di tiga depoh utama iaitu Cheras, Pantai Sentral, dan Chan Sow Lin, DBKL kini mempunyai logistik yang lebih mampan untuk menguruskan isu ini secara sistematik.

Orang ramai yang ingin menyertai program ini atau mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian 03-87236555.

-RI

Tinggalkan komen anda