
Laporan/foto: Iswandi Kassim / Magret Jana (Sri Aman)
SRI AMAN, 17 April (MalaysiaAktif) – Mount Hosanna Chapel yang mempunyai reka bentuk unik menyerupai tiga batang lilin kini menjadi destinasi utama ziarah rohani serta pelancongan spiritual di Sarawak.
Kapel putih di atas bukit Jalan Kuching-Sri Aman itu bukan sahaja simbol keimanan penganut Roman Katolik malah mencerminkan keharmonian agama dan warisan seni bina luar biasa.
Pengunjung Margaret Jana, 30, berkata pengalaman menjejakkan kaki ke kapel tersebut memberikan ketenangan jiwa selain menjadi lokasi penting untuk refleksi diri terutama menjelang musim Easter.
“Tempat ini benar-benar memberikan ketenangan jiwa kepada sesiapa sahaja yang datang terutamanya bagi penganut Katolik untuk bermeditasi,” katanya kepada MalaysiaAktif di sini kelmarin.
Beliau menjelaskan pendakian 201 anak Tangga Yakub memberi pengalaman simbolik dalam perjalanan menuju ke ruang spiritual yang lebih suci.
Pembangunan kapel hasil visi mendiang Fr. Richard Khoo itu dirasmikan pada November 1997 dengan reka bentuk tiga lilin yang melambangkan Tritunggal Suci iaitu Bapa, Anak dan Roh Kudus.
Kerajaan Sarawak melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM140,000 pada tahun 2023 bagi tujuan penyelenggaraan kemudahan.
Dana tersebut digunakan untuk menaik taraf fasiliti bagi menyokong penganjuran aktiviti keagamaan berskala besar seperti retret rohani dan program komuniti setempat.
Tumpuan penziarah turut terarah kepada tapak devosi ‘Mother Mary Shrine’ yang terus menggamit kehadiran ramai pengunjung untuk berdoa serta bermeditasi di kawasan berkenaan.
Mount Hosanna Chapel kini dilihat sebagai aset berharga dalam segmen pelancongan warisan sekali gus menyumbang kepada kepelbagaian produk pelancongan di bahagian Sri Aman.
-RJ-





