Skip to main content
Berita TempatanSarawak

30 Penduduk Mukah Terima Sumbangan Kebajikan

By 5 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun/Syuhaida Saifudin (Mukah)

MUKAH, 5 Mei (MalaysiaAktif) – Seramai 30 penerima dari kawasan Parlimen Mukah menerima sumbangan berjumlah RM9,000 menerusi inisiatif kebajikan yang disalurkan oleh Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib bagi tahun 2026.

Sumbangan tersebut merangkumi tiga kategori utama iaitu bantuan pendidikan, perubatan serta khairat kematian yang disasarkan kepada golongan memerlukan bagi membantu mereka menghadapi peningkatan kos sara hidup.

Pegawai Pusat Khidmat Parlimen Mukah, Syuhaida Saifudin berkata, penyerahan sumbangan dilaksanakan secara berperingkat bermula 16 hingga 25 April lalu di beberapa lokasi sekitar kawasan Parlimen Mukah.

“Pendekatan ini diambil bagi memastikan proses penyampaian berjalan lancar di samping memberi fleksibiliti kepada penerima untuk hadir mengikut kesesuaian masing-masing,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau berkata, bantuan pendidikan diharap dapat meringankan beban pelajar dan ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan seperti buku, alat tulis serta bayaran yuran berkaitan.

“Bagi bantuan perubatan pula, ia disalurkan kepada individu yang memerlukan rawatan kesihatan, termasuk bagi menampung kos ubat-ubatan dan rawatan susulan,” jelasnya.

Tambahnya, sumbangan khairat kematian pula bertujuan membantu waris menguruskan kos pengkebumian serta keperluan berkaitan dan bantuan bukan sahaja berbentuk kewangan, malah turut memberi sokongan moral kepada keluarga yang sedang berdepan saat sukar.

Inisiatif tersebut turut dilihat sebagai langkah signifikan dalam mempererat hubungan antara pemimpin dan masyarakat, di samping menyemai nilai keprihatinan serta tanggungjawab sosial dalam kalangan pemimpin setempat.

Program itu juga diharap mampu memberi impak positif terhadap kesejahteraan komuniti Mukah secara keseluruhannya, sejajar dengan aspirasi pembangunan masyarakat yang inklusif dan seimbang.

-RJ-

Tinggalkan komen anda