Skip to main content
Berita TempatanSarawak

1,681 Penerima JKM Bintulu Terima Bantuan Khas Gawai, Ringankan Beban Golongan Sasar

By 5 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Siti Faridah Ajek/Mohd Zaki Umar (Bintulu)

BINTULU, 5 Mei (MalaysiaAktif) – Seramai 1,681 penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Bahagian Bintulu bakal menerima sumbangan khas sebagai persiapan menyambut Hari Gawai.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Datuk Majang Renggi berkata, inisiatif tersebut diharap dapat membantu meringankan beban kewangan penerima, khususnya dalam menghadapi musim perayaan.

“Sumbangan khas ini juga diharapkan dapat membantu mereka merancang perbelanjaan dengan lebih teratur menjelang musim perayaan nanti,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Sejambak Kasih Hari Gawai Peringkat Bahagian Bintulu, di sini hari ini.

Beliau menegaskan, penganjuran Program Sejambak Kasih oleh JKM mencerminkan nilai kasih sayang dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat, selain memperkukuh semangat kebersamaan tanpa mengira latar belakang.

“Program seperti ini menjadi platform penting untuk memastikan tiada golongan yang terpinggir, selaras dengan aspirasi membina masyarakat yang inklusif dan sejahtera,” ujarnya.

Sementara itu, sumbangan yang disalurkan turut membawa kegembiraan kepada pasangan suami isteri Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan, Rudy Sili, 42, dan Julia Sita, 38.

Ketika ditemu ramah, pasangan tersebut menzahirkan rasa syukur atas keprihatinan kerajaan dan menyifatkan bantuan yang diterima amat bermakna dalam membantu mereka membuat persiapan menyambut Gawai.

“Kami amat bersyukur dengan bantuan ini kerana ia benar-benar membantu meringankan beban perbelanjaan kami sekeluarga menjelang perayaan,” kata Rudy.

-RJ-

Tinggalkan komen anda