
Laporan/foto: Sumardi Sugiman/Randy Achang William (Limbang)
LIMBANG, 5 Mei (MalaysiaAktif) – Program Peragaan Busana Pelbagai Kaum anjuran Sekolah Kebangsaan (SK) Limpaki memberi pendedahan awal kepada murid mengenai kepelbagaian pakaian tradisional di Malaysia, sekali gus menyokong usaha pemeliharaan warisan budaya.
Program tersebut melibatkan penyertaan murid pelbagai kaum yang memperagakan pakaian tradisional sebagai medium pembelajaran secara langsung di peringkat sekolah.
Guru Besar SK Limpaki Abdul Halim Suhaili berkata program berkenaan merupakan antara inisiatif berterusan pihak sekolah dalam memupuk perpaduan dalam kalangan murid.
“Program Peragaan Busana Pelbagai Kaum di Malaysia menjadi simbol penyatuan rakyat daripada pelbagai latar belakang, memupuk rasa hormat dan penghargaan antara satu sama lain.
“Ia merupakan inisiatif pihak sekolah sebagai medium pendidikan dan kesedaran untuk mendidik generasi muda mengenai sejarah, jenis, corak dan fungsi pakaian tradisional setiap kaum di Malaysia,” katanya ketika menyempurnakan program itu, di sini hari ini.
Menurut beliau, pendekatan berasaskan aktiviti seperti ini membantu murid mengenali identiti budaya negara secara lebih dekat.
“Program seperti ini penting untuk memelihara warisan budaya serta meningkatkan imej negara dan berpotensi menarik kedatangan pelancong,” ujarnya.
-RJ-





