Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Lima Buruh Ladang Sawit Ditahan Disyaki Terlibat Dadah

By 12 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun (Mukah)/IPD Mukah

MUKAH, 12 Mei (MalaysiaAktif) – Lima lelaki warga tempatan ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah menerusi satu serbuan di kawasan Bukit Kerangan, Sungai Kua, Selangau, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Menurut Muhamad Rizal, kesemua suspek berusia antara 32 hingga 46 tahun yang bekerja sebagai buruh ladang sawit itu ditahan di dalam sebuah kenderaan pikap di tepi jalan kawasan berkenaan.

“Semasa serbuan dilakukan, salah seorang suspek bertindak mencampakkan satu objek mencurigakan ke kawasan semak berhampiran bagi mengelakkan kegiatan dikesan,” katanya dalam satu kenyataan media pada hari ini.

Muhamad Rizal berkata pemeriksaan di kawasan semak menemui dua keratan tiub straw lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine yang disimpan di dalam kotak rokok.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan seberat 0.86 gram dan kesemua suspek didapati positif dadah jenis amphetamine serta methamphetamine,” katanya.

Menurut beliau, kesemua suspek mengaku dadah tersebut milik mereka dan kini direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 16 Mei bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

-RJ-

Tinggalkan komen anda