
Laporan/foto: Hamidah Len/ UMS (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 12 Mei (MalaysiaAktif) – Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Norkiah Arsat dinobatkan sebagai Tokoh Jururawat Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2026, hari ini.
Kenyataan media UMS menyebut, pengiktirafan itu berasaskan pengalaman luas Norkiah selama 30 tahun dalam perkhidmatan klinikal, kebidanan, kesihatan awam serta pendidikan kejururawatan.
Norkiah yang juga pengasas Persatuan Jururawat Malaysia Cawangan Sabah, merupakan antara individu utama yang membuka laluan pengajian tinggi bagi jururawat di negeri tersebut.
Anugerah disampaikan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib sempena Sambutan Hari Jururawat Peringkat Kebangsaan 2026 di Putrajaya International Convention Centre.
Pengerusi Persatuan Jururawat Malaysia Cawangan Sabah, Deena Clare Thomas menyifatkan anugerah tersebut sebagai pengiktirafan tertinggi terhadap sumbangan Norkiah dalam penyelidikan dan kepimpinan organisasi.
“Pengiktirafan ini amat wajar kerana sumbangan beliau merangkumi aspek pendidikan, penyelidikan serta pembangunan organisasi kejururawatan,” katanya.
Deena menjelaskan penganugerahan tersebut membawa mesej penting mengenai peranan pendidikan kejururawatan dalam memperkukuh sistem kesihatan negara.
-RJ-





