
Laporan/Foto: Sunday Grace Justimus/Hanie Martin (Penampang)
PENAMPANG, 8 Jun (MalaysiaAktif) – Bermula dengan menjual cili padi berperisa, seorang usahawan tempatan, Hanie Martin, 57, kini berjaya mengembangkan perniagaannya dengan menghasilkan pelbagai jenis sambal serta makanan tradisional Sabah.
Menurut Hanie selepas cili padi dengan enam perisa yang dijualnya mendapat permintaan ramai, beliau tekad untuk memperluaskan perniagaan dengan memperkenalkan lebih banyak variasi sambal berasaskan resipi orang kampung.
“Semua produk yang dihasilkan menggunakan inspirasi resipi tradisional asli Sabah yang mengekalkan rasa kampung serta keunikan citarasa tempatan.
“Selain itu, produk ini sesuai untuk semua golongan sama ada masyarakat tempatan mahupun pelancong yang ingin merasai keunikan makanan tradisional Sabah,” katanya ketika ditemui di International Technology & Commercial Centre (ITCC) Penampang di sini, semalam.
Hanie turut mengakui antara cabaran utama dalam menghasilkan produk tempatan ialah proses penyediaan yang mengambil masa dengan setiap produk dihasilkan mengikut piawaian khusus bagi memelihara mutu dan cita rasa.
“Keistimewaan produk saya terletak pada kepelbagaian pilihan sambal yang berasaskan warisan kulinari Sabah seperti Sambal Kodop, Tuhau, Liposu, Kantan Terung Pipit dan Nanas selain menawarkan rasa unik yang sukar ditemui di tempat lain.
“Dalam usaha meningkatkan pengeluaran produk, saya juga menerima bantuan daripada Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) berupa peralatan seperti peti sejuk, alat pengisar industri dan alat memasak pelbagai fungsi,” kongsinya.
-RJ-




