
Laporan/foto: Faizzad Kamal (Batang Padang)
TAPAH, 10 Jun (MalaysiaAktif) – Satu laporan polis telah dibuat oleh Wakil Tok Batin Daerah Batang Padang, Muallim dan Kinta berhubung dakwaan dan fitnah yang tular di media sosial berkaitan kes kehilangan seorang pendaki, Jaslinda Saludin, semalam.
Rani Bah Ulit berkata aporan itu dibuat selepas sebuah video berdurasi 1 minit 42 saat yang dimuat naik menerusi aplikasi TikTok didakwa mengandungi pelbagai tuduhan tidak berasas terhadap Tok Batin Kampung Lubok Gaharu.
Beliau berkata video tersebut mendakwa Tok Batin telah menyembunyikan Jaslinda selama dua minggu serta mempunyai niat jahat terhadap mangsa.
“Kandungan video terbabit turut didakwa memperlekehkan usaha masyarakat Orang Asli yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR), di samping mengeluarkan kenyataan yang menghina komuniti Orang Asli.
“Tuduhan tersebut bukan sahaja mencemarkan nama baik individu yang terlibat, malah menjejaskan maruah serta mengguris perasaan masyarakat Orang Asli yang telah bersama-sama membantu dalam operasi SAR,” katanya ketika ditemui ditemui di Dewan TN 50, di sini.
Beliau berharap polis dapat menjalankan siasatan menyeluruh serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menyebarkan fitnah dan kenyataan berbaur penghinaan mengikut peruntukan undang-undang.
-FN




