
Laporan/foto: Aiman Alimin (Kelantan)
KOTA BHARU, 10 Jun (MalaysiaAktif) – Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris tidak perlu dilihat sebagai bertentangan, sebaliknya boleh saling melengkapi dalam usaha memperkukuh penguasaan ilmu serta komunikasi di peringkat nasional dan antarabangsa, kata Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, Nor Hashimah Jalaluddin.
Beliau berkata, pandangan yang meletakkan kedua-dua bahasa dalam kedudukan bertentangan adalah tidak tepat kerana penguasaan lebih daripada satu bahasa mampu memberi kelebihan kepada masyarakat, khususnya dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.
Menurutnya, pengalaman dalam kajian berkaitan manuskrip Melayu, dialek dan metafora Melayu di peringkat antarabangsa membuktikan bahawa bahasa Melayu tetap mempunyai nilai dan daya tarikan tersendiri di mata dunia.
“Saya pernah membentangkan kajian berkaitan manuskrip Melayu, dialek dan metafora Melayu di peringkat antarabangsa, dan ia mendapat perhatian yang sangat menggalakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan forum sempena Wacana 152: Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Negara anjuran bersempena Sambutan Ulang Tahun ke-70 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Peringkat Wilayah Timur di Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu, di sini hari ini.
Tambah beliau, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) turut menjadi rujukan utama pengkaji luar dalam kajian berkaitan metafora Melayu, sekali gus membuktikan kedudukan bahasa Melayu yang semakin diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Program tersebut menghimpunkan tokoh akademik, pendidik dan masyarakat bagi membincangkan peranan bahasa kebangsaan dalam pembinaan negara bangsa serta kelestarian budaya dalam arus globalisasi.
Penganjuran wacana itu turut memperkukuh kesedaran bahawa penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak menolak kepentingan bahasa lain, sebaliknya menjadi asas penting dalam memperkukuh identiti dan daya saing negara di peringkat global.
-FN




