
Laporan/foto: Siti Norbaizura Abdul Hamid (Jelebu)
JELEBU, 10 Jun (MalaysiaAktif) – Penyakit syahwat dan syubhah dikenal pasti sebagai antara punca utama yang melemahkan umat Islam, kata pendakwah terkenal Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Beliau berkata keadaan itu menjejaskan kekuatan pegangan agama serta ketahanan dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa.
“…lebih-lebih lagi dalam mendepani pelbagai cabaran yang semakin kompleks pada masa kini,” katanya ketika menyampaikan slot pertama ‘Dunia Membarah’ dalam ceramah Resiliensi Ummah Dalam Barah Dunia, di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Jelebu, hari ini.
Menerusi slot kedua bertajuk Antibiotik Ilahi, beliau turut menekankan kepentingan ilmu dalam membentuk individu dan masyarakat yang berpegang teguh kepada ajaran Islam.
Menurutnya, ilmu yang sebenar bukan sekadar berkaitan urusan kehidupan, sebaliknya perlu disandarkan kepada rasa takut kepada Allah SWT.
“Ilmu kehidupan perlu ada dan ilmu takut kepada Allah adalah ilmu yang sebenar,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa ilmu yang berteraskan ketakwaan mampu membentuk peribadi yang lebih baik serta menjadi panduan kepada umat Islam dalam menjalani kehidupan seharian.
Seramai lebih 100 peserta terdiri daripada penjawat awam menghadiri program berkenaan yang bertujuan memberikan kefahaman kepada peserta mengenai makna sebenar hijrah daripada perspektif Islam serta memperkukuhkan ketahanan rohani dan intelektual dalam kalangan penjawat awam.
-FN





