Skip to main content
Berita TempatanSabah

Pengusaha Kopi Digesa Manfaatkan Inisiatif Kerajaan Tingkat Produktiviti

By 3 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mc Denver L Toni (Sipitang)

SIPITANG, 11 Jun (MalaysiaAktif) – Pengusaha kopi perlu merebut peluang yang disediakan kerajaan menerusi pelbagai program latihan, bantuan teknikal dan pembangunan usahawan bagi memperkukuh keupayaan serta meningkatkan produktiviti perusahaan.

Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah berkata sektor pertanian berupaya menjadi sumber pendapatan yang mampan sekiranya diusahakan secara terancang, sistematik dan berasaskan penggunaan teknologi.

“Setiap peluang yang disediakan perlu dimanfaatkan untuk menimba ilmu dan memperkaya kemahiran.

“Dengan iltizam yang tinggi serta usaha yang berterusan, sektor pertanian mampu meningkatkan taraf hidup pengusaha, di samping berperanan sebagai pemangkin pembangunan ekonomi masyarakat dan daerah,” katanya ketika merasmikan Kursus Transformasi Teknologi Tanaman Kopi, di sini kelmarin.

Sementara itu, Pegawai Pertanian Kanan Sipitang, Arbaania Simbo berkata tanaman kopi antara komoditi bernilai tinggi yang mampu memberikan pulangan ekonomi lumayan sekiranya diusahakan mengikut amalan pertanian baik dan piawaian yang ditetapkan.

“Penggunaan bahan tanaman yang berkualiti, pengurusan ladang yang cekap serta pematuhan terhadap tahap pensijilan mampu meningkatkan produktiviti, kualiti hasil dan daya saing industri kopi tempatan,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata daerah berkenaan berpotensi untuk berkembang sebagai pusat pengeluaran kopi berkualiti tinggi di Sabah mengambil kira faktor kesuburan tanah, kesesuaian iklim dan keluasan kawasan tanah tinggi.

-FN

Tinggalkan komen anda