
Laporan/foto: Faizzad Kamal (Batang Padang)/Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tapah
TAPAH, 11 Jun (MalaysiaAktif) – Sebanyak 200 tiang lampu LED akan dipasang di sekitar Tapah secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun.
Ahli Parlimennya, Datuk Seri M. Saravanan berkata inisiatif itu sebahagian daripada visi menjadikan Tapah sebagai sebuah “Daerah Pintar Luar Bandar” (Smart Rural District) berteraskan teknologi hijau, sekali gus mewujudkan persekitaran luar bandar yang lebih moden, selamat dan terang setanding kawasan bandar.
“Tapah mempunyai potensi besar untuk menjadi contoh terbaik kawasan luar bandar yang memanfaatkan teknologi hijau. Dengan pencahayaan yang lebih baik, bukan sahaja aspek keselamatan dapat dipertingkatkan, malah imej kawasan juga akan menjadi lebih menarik,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata dalam fasa pertama pelaksanaan projek, pemasangan lampu solar LED akan ditumpukan di laluan yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi kemalangan, khususnya di sepanjang jalan antara Changkat Petai dan Penjara Tapah.
Saravanan menegaskan bahawa aspek keselamatan masyarakat sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap perancangan pembangunan di kawasan Parlimen Tapah.
Projek tersebut dibiayai sepenuhnya menerusi peruntukan Ahli Parlimen Tapah sebagai usaha meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan penduduk setempat.
-FN




