
Laporan/foto: Norlia Mili (Sarawak)
KUCHING, 12 Jun (MalaysiaAktif) – Ikatan Graduan Melayu Sarawak (IGMS) mempunyai potensi besar untuk menjadi rakan strategik kerajaan dalam memperkukuh pembangunan modal insan dan pendidikan selaras dengan aspirasi Sarawak Maju 2030.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr. Annuar Rapaee berkata IGMS merupakan platform penting yang mampu membantu kerajaan memperkasakan bakat tempatan.
“Ia boleh dilaksanakan menerusi program pembangunan kepimpinan, bimbingan kerjaya, perkongsian ilmu serta jaringan profesional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan Konvensyen Graduan Melayu Sarawak (KGMS) Ke-2 Tahun 2026 bertemakan “Harapan dan Realiti Sarawak Maju Tahun 2030” di Auditorium Tun Ahmad Zaidi Adruce, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang, di sini kelmarin.
Dalam pada itu, Annuar berkata Sarawak kini berdepan perubahan pesat yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI), automasi dan ekonomi digital.
Pembangunan modal insan berkualiti juga perlu menjadi keutamaan bagi memastikan negeri ini terus berdaya saing dalam pasaran global.
“Aset paling penting yang harus dimiliki oleh Sarawak bukanlah sumber asli semata-mata, tetapi modal insan yang berkualiti,” katanya.
Beliau berkata langkah pelaksanaan pendidikan tinggi percuma di institusi milik kerajaan Sarawak merupakan pelaburan strategik untuk melahirkan graduan yang kompeten dan memenuhi keperluan industri masa depan.
“Kita tidak mahu anak-anak Sarawak hanya menjadi pengguna teknologi, sebaliknya menjadi pencipta teknologi, inovator dan pemimpin industri pada masa hadapan,” katanya.
-RJ-




