
Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin/Siti Nur Hidayah Hamidi (Kuala Kangsar)
SUNGAI SIPUT, 12 Jun (MalaysiaAktif) – Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) terus menjadi pilihan rakyat, khususnya dalam keadaan cabaran ekonomi global yang memberi tekanan kepada kos sara hidup.
Berlangsung di perkarangan Masjid Al-Latiffiah, Kg Loh, Karai, di sini semalam, program itu mendapat sambutan menggalakkan orang ramai yang mengambil peluang mendapatkan pelbagai keperluan harian pada harga berpatutan.
Pengerusi masjid, Mohd Fadzir Majid, 69, berkata PJRM menawarkan pelbagai barangan termasuk makanan asas, makanan mentah serta barangan penjagaan diri yang memenuhi keperluan harian penduduk setempat.
“Harga yang lebih murah menjadikan PJRM pilihan mesra pengguna bagi membantu rakyat berjimat dalam perbelanjaan,” katanya kepada Malaysia Aktif.
Bagi pengunjung, Faridah Abd Razak, 62, harga yang lebih murah ini menjadi pilihannya untuk berjimat dalam perbelanjaan.
“Saya tidak pernah ketinggalan menyertai PJRM kerana ia memberi peluang mendapatkan barangan pada harga lebih rendah. Contohnya, sabun pencuci pinggan yang biasa berharga sekitar RM6.90 boleh didapati sekitar RM4.90 di sini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Kangsar, Annisah Abd Aziz ketika dihubungi berkata pelaksanaan PJRM telah dipertingkatkan selaras keadaan ekonomi semasa dan kenaikan harga global.
“Program ini telah diperkukuhkan bagi memastikan impak inflasi bekalan dapat dikurangkan seperti pelaksanaannya yang kini disasarkan secara mingguan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu sebanyak lima kali sebulan berbanding tiga kali sebelum ini,” katanya.
Jelas beliau, pertambahan jenis barangan juga dibuat untuk memenuhi keperluan harian yang lebih menyeluruh termasuk memperbanyakkan bekalan barangan segar seperti ayam, daging, makanan laut dan sayur-sayuran.
-FN




