
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)/JAS Johor
PASIR GUDANG, 12 Jun (MalaysiaAktif) – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, hari ini telah menahan pemilik dan penyelia sebuah premis di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang susulan insiden pelepasan asap berwarna oren yang berlaku semalam.
Pengarahnya Dr. Mohd Famey Yusoff berkata tindakan itu diambil selepas siasatan awal mendapati premis berkenaan gagal mematuhi prosedur pengurusan buangan terjadual serta syarat lesen yang dikeluarkan di bawah Seksyen 16 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Beliau berkata pemantauan kualiti udara turut dijalankan di kawasan sensitif berhampiran, termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Pasir Putih dan SMK Pasir Gudang 3 menggunakan alat Portable Multigas Analyser (CEREX).
“Hasil pemantauan mendapati tiada parameter gas berbahaya dikesan di kawasan sekitar setakat 12 Jun 2026,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha industri yang mengabaikan aspek pengurusan buangan terjadual sehingga boleh menjejaskan keselamatan awam dan alam sekitar.
“Tindakan undang-undang paling tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar syarat pematuhan lesen yang ditetapkan.
“Orang ramai diseru supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pencemaran alam sekitar menerusi talian bebas tol JAS di 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari, e-mel [email protected] atau portal e-Aduan JAS,” katanya.
-FN






