
Laporan/foto: Syamilah Yusman/Mohd Zahid Othman (Johor)
JOHOR BAHRU, 19 Jun (MalaysiaAktif) – Pembukaan Pusat Derma Darah Jauhar dilihat sebagai satu inisiatif strategik dalam memperluaskan akses kepada perkhidmatan pendermaan darah di negeri ini, sekali gus menggalakkan lebih ramai masyarakat tampil sebagai penderma darah.
Pengarah Kesihatan Negeri Johor Dr. Mohtar Pungut @ Ahmad, berkata lokasi pusat itu yang terletak di The Mall, Mid Valley Southkey dijangka dapat meningkatkan keterlihatan perkhidmatan pendermaan darah serta memudahkan orang ramai menderma darah mengikut kesesuaian masa mereka.
Beliau berkata inisiatif tersebut menjadi harapan besar Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) untuk melahirkan lebih ramai penderma darah tetap, khususnya dalam kalangan generasi muda yang merupakan antara penyumbang utama kepada bekalan darah negara.
“Pusat ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan jumlah penderma darah tetap, sekali gus membantu memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi untuk kegunaan pesakit yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pembukaan Pusat Derma Darah Jauhar dan Pelancaran Maskot Johor Blood Warrior, di sini semalam.

Pusat derma darah ini disempurnakan pembukaannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon selepas selesai kerja-kerja naik taraf pada penghujung tahun 2025.
Menurutnya pusat itu pada awal penubuhannya pada Jun 2021 dikenali sebagai Johor Blood Donation Suite Johor Bahru sebelum operasinya dihentikan sementara dan dibuka semula pada awal tahun ini dengan identiti baharu sebagai Pusat Derma Darah Jauhar.
“Kejayaan penubuhan pusat tersebut membuktikan kerjasama erat antara kerajaan, institusi kesihatan, pertubuhan bukan kerajaan, sektor korporat dan masyarakat mampu menghasilkan impak besar terhadap kesejahteraan rakyat,” katanya.
Sementara itu, penderma darah aktif sejak tahun 1996, Mohd Farid Mohd Noh, 52, berkata amalan menderma darah bukan sahaja dapat membantu pesakit yang memerlukan, malah memberi peluang kepada tubuh menghasilkan sel darah baharu.
“Apabila seseorang menderma darah, tubuh akan menghasilkan sel darah baharu bagi menggantikan darah yang didermakan, sekali gus membantu memastikan peredaran darah berada dalam keadaan baik,” katanya.
Bagi seorang lagi penderma darah, Liew Eu Jin, 49, yang telah 79 kali menderma darah, amalan tersebut wajar diteruskan kerana mampu membantu menyelamatkan nyawa selain mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat.
Katanya, kesedaran untuk menderma darah perlu dipupuk secara berterusan agar lebih ramai tampil menyumbang demi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi untuk kegunaan pesakit.
-RI




