
Laporan/foto: Aidil Azhar/Hasmah Hanafi (Bandar Baharu)
BANDAR BAHARU, 19 Jun (MalaysiaAktif) – Inisiatif pertanian tanaman sayuran secara moden di bawah Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) Kampung Tengah Relau terus membuahkan hasil apabila berjaya menjana pendapatan serta membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Pengerusi JPKKP Kampung Tengah Relau Abd Rahim Salleh, berkata projek itu diwujudkan bagi memperkasakan ekonomi komuniti luar bandar di samping memanfaatkan tanah yang tersedia untuk aktiviti pertanian yang lebih produktif dan berdaya saing.
Katanya, tanaman pertama iaitu timun Jepun telah mencatatkan hasil memberangsangkan dengan pengeluaran kira-kira 11 tan metrik, yang dipasarkan ke sekitar daerah Bandar Baharu dan kawasan berhampiran.

Abd Rahim sedang memetik peria untuk di hantar kepada peraih-peraih berdekatan.
“Alhamdulillah, hasil timun Jepun yang diperoleh amat menggalakkan. Berdasarkan kejayaan tersebut, kami kini meneruskan projek dengan tanaman peria dan menyasarkan pengeluaran sehingga 13 tan metrik bagi musim akan datang,” katanya.
Beliau berkata projek berasaskan komuniti itu bukan sahaja memberi pulangan ekonomi kepada kampung, malah turut menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.
“Penduduk kampung terlibat secara langsung dalam kerja-kerja penyediaan kawasan, penjagaan tanaman dan penuaian hasil. Secara tidak langsung, projek ini membantu menambah pendapatan isi rumah mereka,” katanya.
Penduduk setempat turut menyambut baik pelaksanaan projek tersebut kerana manfaat yang dinikmati bukan sahaja dari segi ekonomi, malah menggalakkan semangat kerjasama dan gotong-royong dalam komuniti.
SejaTi MADANI dilihat mampu menjadi contoh kejayaan pembangunan komuniti luar bandar apabila hasil pertanian bukan sahaja menjana pendapatan, malah mewujudkan peluang pekerjaan dan mengukuhkan ekonomi penduduk setempat secara mampan.
-RI




