
Laporan/foto: Salleh Immun/IPD Mukah (Mukah)
MUKAH, 19 Jun (MalaysiaAktif) – Dua lelaki warga tempatan ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dalam Op Bersepadu Cegah Jenayah di Jalan Pan Borneo, Subintulu, Selangau, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata, suspek berusia 32 dan 48 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11 pagi ketika sepasukan anggota polis menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan dalam sekatan jalan raya di lokasi berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut terhadap suspek pertama menemukan satu keratan tiub straw lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu seberat 0.15 gram. Polis tidak menemukan sebarang bahan terlarang pada suspek kedua,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine, hasil ujian saringan air kencing.
Beliau berkata polis menahan reman suspek pertama sehingga Selasa depan manakala suspek kedua dibebaskan dengan jaminan polis.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 Seksyen Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana didapati positif menggunakan dadah,” katanya.
-RJ-




