
Laporan/foto: Jaimis Kunjan/Leonard Desmond (Tambunan)
TAMBUNAN, 19 Jun (MalaysiaAktif)– Setiap kali menghidupkan api arang dan memanaskan besi, pembuat parang tradisional, Ahmad Sinti, 36, teringat saat-saat awal beliau mempelajari seni pembuatan parang daripada arwah bapanya.
Bagi anak jati Kampung Nukakatan itu, kemahiran tersebut menjadi punca pendapatan dan identiti dari pengalaman hidup yang membesarkannya.
“Semenjak kecil saya melihat arwah bapa membuat parang. Lama-kelamaan saya mula membantu sebelum belajar menghasilkan parang sendiri.
“Spring kereta terpakai menjadi bahan utama dalam pembuatan parang kerana ketahanan dan mutu besinya yang sesuai untuk menghasilkan bilah yang kukuh serta tahan lama.
“Proses pembuatan bermula dengan memanaskan besi sebelum ditempa menggunakan tukul, diikuti kerja memperhalusi bilah menggunakan mesin pengisar dan proses pengerasan bagi memastikan ketajaman serta ketahanannya.
“Bagi tangkai dan sarung parang pula, saya menggunakan kayu papan serta beberapa jenis kayu tempatan yang diperoleh dari kawasan hutan,” katanya ketika ditemui di Tamu Mingguan Pisompuruan Square, baru-baru ini.
Beliau yang kini menetap di Kampung Tohan Kumawanan mampu menghasilkan sehingga tiga bilah parang jenis pidah sehari bergantung kepada tempahan dan komitmen lain.
Bagaimanapun, pekerjaan itu menuntut kesabaran, ketelitian dan ketahanan fizikal yang tinggi kerana buat masa ini kebanyakan proses masih dilakukan secara tradisional menggunakan arang dan tenaga manual.
“Ia memang memerlukan banyak tenaga, tetapi saya sudah biasa dengan cara ini kerana itulah yang saya pelajari sejak dahulu,” ujarnya.
Kehalusan hasil pertukangannya menarik kepercayaan pelanggan yang terdiri daripada petani, peladang dan peniaga kecil selain peminat yang menjadikan parang tersebut sebagai koleksi peribadi.
Namun, Ahmad mengakui cabaran terbesar yang dihadapinya hari ini adalah kekurangan peralatan moden bagi meringankan proses pembuatan parang.
“Selain itu, kurangnya minat generasi pelapis dalam bidang ini menjadi kebimbangan pembuatan parang tradisional ini akan semakin dilupakan.
“Saya berharap lebih ramai anak muda tampil mempelajari kemahiran ini supaya ilmu yang diwariskan turun-temurun dapat diteruskan,” tambahnya lagi.
Pandangan itu turut dikongsi pelanggan setianya, Francis Tahir, 59, dari Kampung Lotong yang menyifatkan parang buatan Ahmad antara yang terbaik pernah digunakannya kerana ketajaman, ketahanan dan mutu pembuatannya yang konsisten.
-RJ-




