Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Terapi Permainan Bantu Perkembangan Menyeluruh Kanak-Kanak

By 10 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohamad Borhan (Sarawak)

KUCHING, 19 Jun (MalaysiaAktif) – Terapi melalui permainan kini semakin mendapat perhatian sebagai pendekatan intervensi awal yang berkesan dalam membantu perkembangan kanak-kanak.

Pendekatan tersebut menggunakan aktiviti bermain sebagai medium utama pembelajaran kerana permainan merupakan bahasa semula jadi golongan berkenaan.

Juruterapi Carakerja Paediatrik Erdy Izwan Sohardi berkata, intervensi awal melalui permainan amat penting memandangkan perkembangan otak kanak-kanak berlaku dengan sangat pesat pada tahun-tahun pertama kehidupan.

“Apabila pembelajaran disampaikan melalui aktiviti yang menyeronokkan dan bermakna, kanak-kanak akan lebih bermotivasi untuk belajar, lebih mudah mengekalkan perhatian dan lebih bersedia untuk menguasai kemahiran baharu mengikut keupayaan masing-masing,” katanya ketika ditemui MalaysiaAktif, semalam.

Menurut beliau, setiap aktiviti yang dijalankan dirancang secara khusus berdasarkan keperluan perkembangan individu kanak-kanak dan bukan sekadar aktiviti bermain semata-mata.

Erdy berkata, pelbagai bentuk permainan digunakan termasuk permainan sensorimotor, manipulatif, sosial dan imaginatif bagi membantu meningkatkan kemahiran komunikasi, koordinasi badan, penyelesaian masalah serta keyakinan diri.

Beliau menambah, keberkesanan terapi dapat dilihat apabila intervensi dilaksanakan secara konsisten dengan sokongan berterusan daripada ibu bapa dan ahli terapi.

“Ramai ibu bapa melaporkan anak-anak mereka menjadi lebih yakin, lebih mudah mengikut arahan, mampu mengawal emosi dengan lebih baik serta menunjukkan minat yang lebih tinggi untuk berinteraksi dengan ahli keluarga dan rakan sebaya,” katanya.

Erdy turut menegaskan bahawa penglibatan aktif ibu bapa dan sokongan masyarakat merupakan faktor penting dalam memastikan kejayaan intervensi awal serta perkembangan optimum kanak-kanak.

“Kami percaya setiap kanak-kanak mempunyai kekuatan dan potensi tersendiri,” katanya lagi.

Beliau berharap lebih ramai ibu bapa mendapatkan maklumat berkaitan intervensi awal agar sebarang cabaran perkembangan kanak-kanak dapat dikenal pasti dan ditangani seawal mungkin.

-RJ-

Tinggalkan komen anda