
Laporan/foto: Abg Hairman Abg Fauzi (Samarahan)
KOTA SAMARAHAN, 19 Jun (MalaysiaAktif) – Majlis Perbandaran Kota Samarahan melaksanakan Program Kempen Kawalan Lalat (KKS) ‘Pasar Bersih dan Sejahtera’ di Pasar Mini Kampung Muara Tuang hari ini bagi meningkatkan tahap kebersihan persekitaran.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Dato Idris Buang ketika menyempurnakan majlis meminta pengusaha gerai makanan sentiasa menitikberatkan aspek kebersihan bagi mengelakkan pembiakan lalat.
“Kebersihan bukan sahaja tanggungjawab pihak berkuasa tempatan, malah memerlukan komitmen semua pihak,” katanya ketika ditemui di Pasar Mini Kampung Muara Tuang, di sini hari ini.
“Persekitaran yang bersih dapat membantu mengurangkan risiko penularan penyakit serta mewujudkan komuniti yang lebih sihat dan sejahtera,” katanya lagi.
Pada majlis yang sama, Idris menyerahkan apron dan peralatan kawalan lalat kepada para pengusaha gerai di pasar berkenaan.
Program yang dihadiri kira-kira 100 peserta itu turut menjadi platform mendidik masyarakat mengenai amalan kebersihan yang baik, khususnya di kawasan penyediaan dan penjualan makanan.
-RJ-




