
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 19 Jun (MalaysiaAktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sri Aman menyita kira-kira 7,200 liter diesel bersubsisi yang diseleweng di kawasan Lubok Antu, semalam.
KPDN Sri Aman dalam kenyataan memaklumkan sitaan itu dibuat hasil serahan kes daripada Pasukan Gerakan Am Batalion 10 Sibu.
Turut dirampas sebuah unit skid tank serta beberapa buah jeriken dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM24,356.
“Satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat serta mengesan sumber bekalan diesel bersubsidi tersebut,” menurut kenyataan itu.
Agensi itu menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh penguatkuasaan dalam membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.
“Kementerian akan terus menjalankan pemantauan secara berterusan bagi memastikan bekalan barang kawalan bersubsidi sampai kepada golongan layak,” menurut kenyataan itu lagi.
Orang ramai diseru agar memainkan peranan sebagai mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan.
Aduan boleh disalurkan melalui Portal eAduan KPDN, talian KPDN Sri Aman di 083-323836 atau aplikasi WhatsApp di talian 019-8488000.
-RJ-





