
Laporan/foto: Rizalman Daim (Balingian)
KUALA BALINGIAN, 19 Jun (MalaysiaAktif) – Nelayan pantai di Kuala Balingian menikmati rezeki luar biasa apabila berjaya memperoleh tangkapan ikan kembung melebihi 100 kilogram bagi satu perjalanan ke laut.
Keadaan yang jarang berlaku itu menyaksikan sebahagian nelayan kembali semula ke laut sejurus selesai memunggah hasil tangkapan pertama.
Penduduk, Khairunisa Habi Rahman, 38, berkata fenomena lambakan ikan kembung tersebut kali terakhir berlaku kira-kira dua tahun lalu.
“Keadaan ini jarang-jarang berlaku dan ini merupakan rezeki buat kami penduduk di Kuala Balingian,” katanya ketika ditemui di jeti nelayan di sini hari ini.
“Ikan kembung Kuala Balingian mempunyai rasa yang sedikit berbeza berbanding kawasan lain kerana isinya lebih berlemak,” katanya lagi.
Khairunisa berkata, jumlah tangkapan yang banyak menyebabkan harga ikan kembung dijual pada harga serendah RM10 sekilogram.
Hasil tangkapan tersebut bukan sahaja dipasarkan di Kuala Balingian, malah turut dibawa ke kawasan lain termasuk Balingian, Mukah dan Bintulu.
Nelayan, Omar Mahali, 62, berkata beliau biasanya turun ke laut seawal jam 6 pagi.
Beliau akan kembali ke darat apabila memperoleh tangkapan yang banyak sebelum keluar semula sekitar jam 11 pagi hingga 12 tengah hari.
Menurut Omar, keadaan cuaca angin barat ketika ini merupakan musim ikan kembung yang kebiasaannya bergerak dalam kumpulan besar.
“Apabila tiba musim ikan kembung, ikan ini bergerak secara berkumpulan,” katanya.
“Keadaan itu memudahkan kami nelayan memperoleh hasil tangkapan yang lebih banyak berbanding biasa,” katanya lagi.
Penduduk, Lailatul Kadam, 64, berkata situasi itu bagaikan satu pesta buat komuniti nelayan Kuala Balingian kerana penduduk kampung turut bergotong-royong membantu membersihkan ikan daripada jaring.
Selain ikan kembung, terdapat juga hasil tangkapan lain seperti ikan yu yang dijual pada harga RM1 sekilogram.
“Ada masanya musim ikan memberikan hasil yang lumayan, namun ada juga ketika kami pulang dengan tangkapan yang tidak memuaskan,” katanya.
-RJ-




