Skip to main content
Berita TempatanSarawak

KPDN Sri Aman Rampas 7,200 Liter Diesel Bersubsidi di Lubok Antu

By 3 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)

SRI AMAN, 19 Jun (MalaysiaAktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Cawangan Sri Aman menggagalkan kegiatan disyaki melibatkan penyelewengan diesel bersubsidi di kawasan Lubok Antu, semalam.

Kejayaan tersebut hasil kes serahan daripada Pasukan Gerakan Am Batalion 10 Sibu.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Sri Aman memaklumkan pihaknya menyita kira-kira 7,200 liter minyak diesel, sebuah unit skid tank serta beberapa buah jeriken.

Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM24,356.

“Satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” menurut kenyataan media agensi berkenaan, semalam.

Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat serta mengesan sumber bekalan diesel bersubsidi tersebut.

Mana-mana pertubuhan perbadanan yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan kedua.

Bagi individu pula, pesalah boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan kedua individu, hukuman boleh meningkat kepada denda sehingga RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Agensi itu menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh penguatkuasaan dalam membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.

“Kementerian akan terus menjalankan pemantauan secara berterusan bagi memastikan bekalan barang kawalan bersubsidi sampai kepada golongan layak,” menurut kenyataan itu lagi.

Orang ramai diseru agar memainkan peranan sebagai mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan.

Aduan boleh disalurkan melalui Portal eAduan KPDN, talian KPDN Sri Aman di 083-323836 atau aplikasi WhatsApp di talian 019-8488000.

-RJ-

Tinggalkan komen anda