Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Komitmen Kerajaan Perkasa RELA Demi Kesejahteraan Masyarakat

By 23 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal (Johor Bahru)/RELA Negeri Johor

JOHOR BAHRU, 20 Jun (MalaysiaAktif) – Peranan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) sebagai pasukan sokongan keselamatan komuniti terus diiktiraf dalam membantu memastikan kesejahteraan rakyat serta memperkukuh agenda keselamatan negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa mengiktiraf peranan strategik RELA dalam mendukung agenda keselamatan negara, khususnya dalam aspek kawalan keselamatan setempat, pengurusan bantuan bencana serta khidmat sokongan kepada pelbagai agensi penguatkuasaan.

“Pada hari ini kita adakan program seperti ini bagi memperkukuh hubungan antara pengurusan tertinggi kementerian dengan anggota RELA di lapangan, di samping berkongsi aspirasi kerajaan serta hala tuju KDN dalam memperkasakan peranan pasukan sukarelawan negara,” ketika berucap merasmikan Program Ramah Mesra Yang Berhormat Timbalan Menteri Dalam Negeri Bersama RELA Johor Bahru di Dewan Hassan Abdullah, Tampoi, di sini semalam.

Sementara itu, Shamsul Anuar, berkata kekuatan sesebuah negara bukan sahaja bergantung kepada pembangunan fizikal semata-mata, malah turut didorong oleh perpaduan, kerjasama dan kesejahteraan rakyat yang menjadi tunjang kepada kestabilan negara.

“KDN menzahirkan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan anggota RELA yang berperanan sebagai benteng keselamatan komuniti demi memastikan kesejahteraan komuniti terus terpelihara,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) RELA Mahathir Smoh, Setiausaha Bahagian Kepenjaraan, Antidadah dan RELA Nor Shah Mohamed dan Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan, Ahmad Nizam Norali.

-AA-

Tinggalkan komen anda