Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Cubaan Seludup Benih Udang Kara Bernilai RM2.68 Juta Digagalkan Maritim Malaysia

By 43 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)/APMM Tanjung Sedili

KOTA TINGGI, 20 Jun (MalaysiaAktif) – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Ibu Pejabat Maritim Zon (IPMZ) Tanjung Sedili berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar benih udang kara bernilai kira-kira RM2.68 juta di Jeti Tanjung Belungkor, di sini semalam.

Pemangku Pengarah Maritim Zon Tanjung Sedili Komander Maritim Mohd Najib Sam, berkata rampasan dilakukan kira-kira pukul 6.46 pagi hasil maklumat risikan dan rondaan yang mengesan sebuah bot gentian kaca dalam keadaan mencurigakan di kawasan jeti berkenaan.

“Hasil pemeriksaan menemukan 113 kotak polistirena berisi benih udang kara yang dipercayai cuba diseludup ke Singapura.

“Siasatan awal mendapati benih tersebut dipercayai dibawa masuk dari Indonesia sebelum menjadikan Malaysia sebagai lokasi transit ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sebuah bot gentian kaca dan sebuah enjin sangkut 150 kuasa kuda turut disita.

Beliau menegaskan, Maritim Malaysia akan terus memperkukuh operasi penguatkuasaan dan risikan di perairan Johor Timur yang dikenal pasti sebagai laluan penyeludupan bagi membanteras kegiatan rentas sempadan melibatkan sumber perikanan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 40(1) Akta Perikanan 1985, manakala orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah maritim diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi IPMZ Tanjung Sedili di 07-891 6595,” katanya.

-AA-

Tinggalkan komen anda