
Laporan/foto: Eliasak Omar/Facebook Chow Kon Yeow
KEPALA BATAS, 21 Jun (MalaysiaAktif) – Pulau Pinang terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan utama negara menerusi pembangunan Setia Fontaines Industrial Park seluas 509 ekar di Bertam yang dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pembuatan maju, infrastruktur digital dan industri berteknologi tinggi.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, berkata pembangunan taman perindustrian tersebut merupakan langkah strategik dalam memperkukuh daya saing negeri serta menarik lebih banyak pelaburan berkualiti ke Wilayah Utara.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis pecah tanah projek berkenaan yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, di sini semalam.
Menurutnya, kerjasama antara SP Setia Berhad dan Northern Corridor Implementation Authority (NCIA) dalam meneroka penyelesaian tenaga hijau turut mencerminkan komitmen berterusan negeri terhadap pembangunan industri yang mampan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Katanya, Setia Fontaines Industrial Park yang merupakan sebahagian daripada pembangunan perbandaran seluas 1,691 ekar mempunyai lokasi strategik dan jaringan perhubungan yang baik, sekali gus berpotensi menarik syarikat multinasional serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Pembangunan ini selaras dengan visi jangka panjang negeri untuk mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan, inklusif dan memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat,” katanya.
Dalam majlis yang sama turut menyaksikan pertukaran perjanjian bagi pembangunan 640 unit rumah mampu milik menerusi Projek Pangsapuri Pinang Setia.
Beliau berkata, inisiatif tersebut membuktikan bahawa agenda pembangunan negeri bukan sahaja tertumpu kepada pertumbuhan ekonomi, malah turut memberi penekanan kepada peningkatan taraf hidup rakyat serta akses kepada perumahan berkualiti.
Tambahnya, projek-projek yang dilaksanakan dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, merancakkan aktiviti ekonomi dan menyumbang kepada kemakmuran berterusan Pulau Pinang.
-AA-




