Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Karnival Balau Dalat 2026 Martabat Industri Sagu

By 21 Jun 2026Jun 22nd, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Kamarulzaman Ahmad (JAPEN Dalat)

DALAT, 21 Jun (MalaysiaAktif) – Karnival Balau Dalat 2026 menjadi platform mempromosikan industri sagu tempatan selain membuka peluang pembangunan ekonomi dan pelancongan di daerah ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah menegaskan sagu merupakan komoditi strategik yang menjadi nadi ekonomi masyarakat Dalat.

“Pokok rumbia atau sagu umpama bank tradisi masyarakat kampung yang menjadi sumber pendapatan utama untuk menyara keluarga,” katanya ketika ditemui di Pentas Utama Dalat Waterfront, di sini semalam.

Menurut Fatimah, komoditi itu juga menjadi sumber penting untuk membiayai pendidikan anak-anak sehingga ke menara gading.

Beliau berkata Dalat terus mengekalkan kedudukannya sebagai kawasan pengeluar sagu terbesar di Sarawak dengan menyumbang kira-kira 50 peratus daripada keluasan tanaman di negeri ini.

Industri sagu katanya mempunyai potensi besar untuk diperkembangkan melalui penghasilan produk hiliran bernilai tinggi sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pendapatan kepada usahawan.

Beliau berkata sebagai langkah memperkukuh sektor pertanian dan agromakanan, Dalat bakal menjadi tuan rumah Program Mini Agrofest dalam masa terdekat.

Kerajaan juga katanya akan membina Kompleks Lembaga Pembangunan Sagu dan Nipah Sarawak (SNDB) serta sebuah hotel butik milik kerajaan bernilai RM38 juta bagi merancakkan pelancongan domestik.

Pembangunan tersebut dijangka memberi manfaat kepada penduduk setempat melalui peningkatan peluang ekonomi serta pengukuhan kedudukan Dalat sebagai pusat industri sagu utama.

-RJ-

Tinggalkan komen anda