
Laporan/foto: Aishah Latip (Lundu)
LUNDU, 21 Jun (MalaysiaAktif) – Golongan belia perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran masa depan bagi menghadapi perubahan pesat dunia pekerjaan yang dipacu teknologi digital serta kecerdasan buatan (AI).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata kecemerlangan akademik sahaja tidak lagi mencukupi untuk menjamin kejayaan dalam dunia yang semakin kompetitif.
“Generasi muda hari ini bukan sahaja perlu cemerlang dalam akademik, malah perlu memiliki kemahiran komunikasi, daya tahan, kebolehan bekerja dalam pasukan serta kemampuan menyesuaikan diri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika semasa merasmikan Majlis Penutupan Program Level Up Youth! Building Future-Ready Leader di Dewan Serbaguna Centre of Technical Excellence Sarawak (CENTEX) Lundu, di sini semalam.
Menurut Billy, kemahiran berkenaan penting agar mereka mampu bersaing dalam dunia yang semakin dinamik.
Dalam pada itu, beliau berkata perkembangan teknologi digital, automasi dan AI telah mengubah landskap pekerjaan global serta mewujudkan pelbagai peluang kerjaya baharu.
Situasi tersebut katanya memerlukan persediaan kemahiran yang berbeza daripada generasi terdahulu.
“Anak-anak muda perlu bersedia menghadapi perubahan ini dengan memperkukuh kemahiran diri, meningkatkan keyakinan dan terus menimba ilmu sepanjang hayat,” katanya.
Billy turut menegaskan bahawa pelaburan dalam pembangunan modal insan merupakan langkah penting bagi memastikan kemajuan negara dapat dicapai secara mampan.
Program itu melibatkan 70 pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lundu.
-RJ-





