
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)/MetMalaysia
JOHOR BAHRU, 21 Jun (MalaysiaAktif) – Satu kejadian gempa bumi lemah berukuran magnitud 3.3 dikesan berlaku di perairan Batu Pahat, Johor pada jam 1.17 pagi tadi.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa bumi itu berlaku pada koordinat 1.7 darjah Utara dan 102.7 darjah Timur, kira-kira 20 kilometer barat daya dari Batu Pahat pada kedalaman 10 kilometer.
MetMalaysia memaklumkan gegaran daripada kejadian tersebut berkemungkinan dirasai di kawasan sekitar Batu Pahat.
“Jabatan Meteorologi Malaysia akan terus memantau keadaan ini,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya penduduk di kawasan terlibat dinasihatkan supaya kekal tenang serta mendapatkan maklumat terkini hanya daripada sumber rasmi pihak berkuasa bagi mengelakkan penyebaran maklumat tidak sahih dan spekulasi yang boleh mengelirukan masyarakat.
MetMalaysia akan terus menyalurkan perkembangan semasa berkaitan kejadian tersebut dari semasa ke semasa.
-AA-




