
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal (Johor Bahru)/Kementerian Sumber Manusia
JOHOR BAHRU, 21 Jun (MalaysiaAktif) – Rakyat perlu terus meningkatkan ilmu dan kemahiran bagi kekal relevan serta berdaya saing dalam dunia pekerjaan yang semakin dipengaruhi oleh perkembangan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI), automasi dan digitalisasi.
Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri R. Ramanan Ramakrishnan berkata cabaran utama masa kini bukanlah perkembangan teknologi itu sendiri, sebaliknya kegagalan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan melalui peningkatan pengetahuan dan kemahiran.
Menurut beliau, agenda upskilling dan reskilling terus diberi penekanan oleh Kerajaan MADANI bagi memastikan rakyat kekal relevan dan berdaya saing.
“Penjelasan mengenai kepentingan pembelajaran sepanjang hayat diberikan kepada masyarakat bagi menghadapi perubahan pesat dunia pekerjaan yang dipengaruhi oleh perkembangan teknologi seperti AI, automasi dan digitalisasi.
“Justeru, agenda upskilling dan reskilling terus diberi penekanan oleh Kerajaan MADANI bagi memastikan rakyat kekal relevan dan berdaya saing,” katanya ketika berucap merasmikan Program Siri Jelajah Pocket Talk HRD Corp Dari Dasar ke Rakyat di Starhill Golf and Country Club, Kempas, di sini semalam.
Program yang dihadiri lebih 1,000 penduduk sekitar Kempas itu bertujuan menarik minat masyarakat terhadap peluang pembangunan kemahiran dan peningkatan kebolehpasaran yang disediakan oleh kerajaan.
Ramanan berkata program tersebut turut menjadi saluran penting untuk mendekatkan dasar kerajaan kepada rakyat, selain memberi pendedahan mengenai pelbagai inisiatif pembangunan modal insan yang dilaksanakan menerusi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan agensi-agensi di bawahnya.
“Selain itu, melalui program ini, kita berikan peluang kepada peserta untuk mendapatkan maklumat secara terus mengenai pelbagai bantuan, latihan dan peluang peningkatan kerjaya yang ditawarkan oleh kerajaan,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan MADANI akan terus komited melabur dalam pembangunan modal insan kerana rakyat merupakan aset paling berharga dalam memastikan kemajuan dan kemakmuran negara dapat dikekalkan untuk generasi akan datang.
-AA-





