Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Lebih 60,000 KIR Selangor Keluar Daripada Kemiskinan Menerusi RS-1

By 2 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Herlina Zakaria/Facebook Papparaidu Veraman (Selangor)

SHAH ALAM, 24 Jun (MalaysiaAktif) – Lebih 60,000 ketua isi rumah di Selangor berjaya keluar daripada kategori miskin dan miskin tegar menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu berkata pencapaian tersebut menjadi asas penting dalam memperkukuh agenda pembasmian kemiskinan negeri yang akan diteruskan menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2), khususnya bagi meningkatkan pendapatan rakyat serta memperluas mobiliti sosial.

Menurutnya, sebanyak 46 program di bawah Inisiatif Iltizam Selangor Penyayang telah dilaksanakan sepanjang tempoh RS-1 merangkumi bantuan keusahawanan, latihan kemahiran dan penempatan pekerjaan bagi membantu golongan memerlukan membina sumber pendapatan yang lebih mampan.

“Usaha pembasmian kemiskinan bukan hanya tertumpu kepada pemberian bantuan semata-mata tetapi turut melibatkan pembangunan kapasiti individu supaya mereka mampu meningkatkan taraf hidup dan menjana pendapatan secara mampan.

“Kerajaan negeri juga merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI yang sentiasa menyalurkan bantuan kepada rakyat serta menyokong pelaksanaan pelbagai program kebajikan dan pembangunan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan segmen Teh Tarik Kopi O terbitan Selangor FM di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini semalam.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa isu kemiskinan tidak boleh dianggap selesai sepenuhnya kerana masih terdapat keluarga yang berisiko kembali berada dalam kategori miskin akibat perubahan ekonomi dan faktor semasa.

Sehubungan itu, beliau berkata pemantauan berterusan perlu dilaksanakan menerusi pelbagai saluran termasuk rekod komuniti setempat di masjid, kuil dan sekolah bagi mengenal pasti individu yang memerlukan bantuan.

Mengulas hala tuju RS-2, Papparaidu berkata kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh mobiliti sosial, meningkatkan pendapatan isi rumah, membangunkan bakat serta kemahiran masa depan serta memperkukuh jaringan perlindungan sosial.

-AA-

Tinggalkan komen anda