Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Dua Pasang Kembar Pilih TVET Bina Masa Depan

By 3 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto : Izamuddin Jusoh/Fatihah Asmida Yaakub (Terengganu)

KUALA TERENGGANU, 24 Jun (MalaysiaAktif) – Minat yang mendalam terhadap bidang teknikal mendorong dua pasang kembar memilih laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Kolej Komuniti Kuala Terengganu bagi menyambung pengajian.

Keempat-empat pelajar berkenaan melapor diri sempena Hari Pendaftaran Pelajar Baharu Sesi I 2026/2027, di sini kelmarin sebagai pelajar baharu Sijil Teknologi Automotif, salah satu program TVET yang ditawarkan kolej tersebut bagi melahirkan tenaga kerja mahir dan berdaya saing dalam industri automotif.

Menurut Muhammad Haziq Ishak, 18, dia dan kembarnya Muhammad Hafiz, keputusan memilih bidang automotif dibuat atas minat yang sama terhadap dunia permotoran serta keyakinan bahawa TVET mampu membuka peluang kerjaya yang luas pada masa hadapan.

“Kami selalu buat benda bersama sejak kecil, jadi bila tiba masa pilih hala tuju pendidikan, kami sepakat memilih TVET kerana minat yang sama dalam bidang automotif.

“Kami mahu belajar kemahiran yang boleh terus digunakan dalam dunia pekerjaan,” katanya kepada Malaysia Aktif.

Pasangan kembar Muhammad Fazrin Aiman Mohd Ridhuan, 18, dan Muhammad Fazram Aiman turut berkongsi keterujaan untuk memulakan fasa baharu sebagai pelajar kolej dan berharap dapat menimba ilmu serta kemahiran praktikal yang diperlukan dalam industri.

Fazram Aiman berkata kejayaan bukan hanya melalui laluan akademik biasa.

Pengarah Kolej Komuniti Kuala Terengganu ketika sesi taklimat bersama ibu-bapa dan penjaga.

“TVET membuka peluang besar kepada anak muda seperti kami untuk menguasai kemahiran, berdikari dan membina kerjaya yang stabil pada masa hadapan” katanya.

Pengarah Kolej Komuniti Kuala Terengganu Suhaimi Yajid, berharap TVET dijadikan sebagai pilihan utama bagi pelajar-pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

“Kita berharap calon lepasan SPM menjadikan TVET sebagai satu pilihan utama, bukan lagi sebagai pilihan kedua kerana permintaan dan peluang pekerjaan dalam TVET amat diperlukan untuk pembangunan masa hadapan,” katanya.

Kehadiran dua pasang kembar ini secara tidak langsung mencuri perhatian pada sesi pendaftaran pelajar baharu, sekali gus menjadi simbol semangat dan kesungguhan generasi muda dalam memilih laluan kemahiran sebagai jambatan menuju masa depan yang lebih cerah dan berhasrat untuk menyertai syarikat pemotoran yang gah seperti Mazda dan Honda apabila tamat pengajian.

Pemilihan bidang TVET seperti Sijil Teknologi Automotif dilihat selari dengan keperluan semasa industri yang semakin memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi, khususnya dalam sektor teknikal dan automotif.

-RI

Tinggalkan komen anda