
Laporan/foto: Maznah Ngah/Ahmad Syafri Husnaini (Terengganu)
DUNGUN, 26 Jun (MalaysiaAktif) – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperkukuh usaha membudayakan integriti dan menanam kesedaran antirasuah dalam kalangan generasi muda menerusi Program Wira Anti Rasuah (WAR) Zon Timur yang berlangsung di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Dungun, semalam.
Program hasil kerjasama strategik antara SPRM dan Unit Integriti Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu melibatkan seramai 300 pelajar Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 serta 57 kakitangan MRSM Dungun.
MRSM Dungun merupakan MRSM ke-32 daripada 58 MRSM di seluruh negara yang terpilih melaksanakan Program Wira Anti Rasuah (WAR), sekali gus membuktikan komitmen berterusan MARA dan SPRM dalam memperkukuh budaya integriti serta melahirkan generasi masa depan yang berakhlak, beramanah dan bebas rasuah.

Pendedahan awal mengenai integriti dalam membentuk sahsiah pelajar membudayakan integriti dan menanam kesedaran antirasuah dalam kalangan generasi muda.
Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya (KPKPj) Samsul Salip berkata SPRM komited melahirkan generasi yang berpegang teguh kepada nilai integriti, beretika dan menolak sebarang bentuk rasuah dalam kehidupan seharian.
“Institusi pendidikan MARA memainkan peranan penting dalam melahirkan modal insan berkualiti dan berdaya saing, justeru pendedahan awal mengenai integriti amat signifikan dalam membentuk sahsiah pelajar,” katanya
Program tersebut turut menampilkan perkongsian daripada wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai isu buli dalam kalangan pelajar, selain slot pendidikan integriti dan antirasuah yang disampaikan oleh Penguasa Kanan (PsK) Zainab Abdul Malik.
Dalam masa sama, sesi perkongsian khas bersama warga kerja MRSM dan MARA Negeri Terengganu turut diadakan, dikendalikan PsK Wan Noorul Hisyam Awang @ Nawi dengan penyertaan pengetua dan wakil beberapa MRSM di Terengganu, TVETMARA Kemaman serta pegawai Pejabat MARA Negeri Terengganu.
-RI




