Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Lelaki Warga Asing Cederakan Polis Dengan Parang Ditahan

By 2 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun (Mukah)

MUKAH, 26 Jun (MalaysiaAktif) – Seorang lelaki warga asing ditahan selepas dipercayai mencederakan leher seorang anggota polis bantuan menggunakan sebilah parang di kawasan rumah pekerja sebuah ladang sawit di Jalan Sebakong, di sini pada 4.40 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata kejadian berlaku apabila suspek, 39, secara tiba-tiba bertindak agresif melibas parang ke arah mangsa yang berusia 45 tahun yang sedang cuba menenangkan keadaan selepas menerima maklumat mengenai gangguan ketenteraman dilakukan suspek di kawasan tersebut.

“Setibanya di tempat kejadian, mangsa mendapati suspek yang bekerja sebagai seorang pekerja ladang sedang membuat bising sambil memegang sebilah parang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhamad Rizal berkata suspek yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah itu ditahan oleh beberapa pekerja lain selepas berlaku pergelutan sebelum anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah tiba dan merampas senjata sepanjang 53 sentimeter milik suspek.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek berada di bawah pengaruh alkohol dan tidak menolak kemungkinan perselisihan faham dengan pengurusan syarikat menjadi punca insiden.

“Mangsa dikejarkan ke Hospital Mukah untuk menerima rawatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda