
Laporan/foto: Azza Aziz/Jabatan Penerangan Malaysia
PUTRAJAYA, 26 Jun (MalaysiaAktif) – Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati diumumkan sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil ketika melancarkan tema berkenaan hari ini berkata logo Malaysia MADANI pula dikekalkan sebagai logo rasmi sambutan tersebut.
Fahmi berkata pemilihan tema itu menggambarkan visi kerajaan dalam mewujudkan sebuah negara yang maju, inklusif dan harmoni, dengan memastikan setiap individu dapat menikmati kesejahteraan secara menyeluruh.
“Fokus utama tema ini adalah untuk memastikan bahawa kesejahteraan bukan hanya dikecapi oleh golongan tertentu, tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia.
“Tema dan logo yang dipilih akan menjadi identiti utama dalam sambutan HKHM 2026,” katanya pada sidang media mingguan, di sini.
Dalam pada itu, Fahmi menyeru rakan media agar menyebarluaskan tema HKHM 2026 supaya semangat penghayatannya dapat diterapkan kepada setiap lapisan masyarakat dan kemuncaknya dizahirkan sewaktu sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September ini.
“Saya turut menggesa pihak media agar memperbanyak penyampaian kandungan yang berteraskan nilai kenegaraan dan semangat patriotisme kepada seluruh rakyat.
“Usaha ini penting bagi menyemarakkan lagi semangat cintakan negara serta memperkukuh jati diri nasional, khususnya sempena sambutan Bulan Kebangsaan yang bakal menjelang,” katanya.
Beliau berkata program dan aktiviti sepanjang Bulan Kebangsaan akan tetap disambut dengan meriah walaupun dilaksanakan secara sederhana.
Fahmi berkata sebarang maklumat lanjut berkaitan logo, tema dan program Bulan Kebangsaan 2026, boleh diperoleh melalui saluran rasmi di Portal Merdeka360.
-AA-




