Skip to main content
Berita TempatanSabah

Jabatan Perikanan Larang Pindah Ikan Antara Sungai Cegah KHV Tular

By 14 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mazlan Bakar/Sam Mansibu/Mustapha Bacho (Nabawan)

PEGALUNGAN, 26 Jun (MalaysiaAktif)-Jabatan Perikanan Sabah melarang pemindahan ikan antara sungai serta mencadangkan pembukaan tagal secara terkawal bagi mengekang penularan Koi Herpesvirus (KHV).

Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, Datin Dr. Shuhadah Mustapha berkata spesies ikan asing turut dilarang dilepaskan ke dalam sungai bagi melindungi spesies ikan tempatan serta mengelakkan kemasukan penyakit.”Pada tahun ini, beberapa sungai di negeri Sabah mengalami kejadian kematian ikan secara mendadak dan dalam jumlah yang besar.

“Situasi ini dipercayai berpunca daripada jangkitan virus KHV dan juga musim kemarau yang sedang melanda pada masa itu.

“Selain memulihara sumber perikanan sungai, sistem tagal juga dapat meningkatkan ekonomi komuniti melalui aktiviti eko-pelancongan seperti bermain ikan jinak, perkhemahan, sukan memancing dan aktiviti rekreasi alam semula jadi,” katanya semasa perasmian Tagal Tradisi Kampung Kuala Sumatalun, semalam.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Pengarah Perikanan (Operasi) Sabah, Lawrence Kissol Jr.

Menurut beliau, Tagal Kampung Kuala Sumatalun mempunyai keunikan tersendiri kerana menjadi habitat spesies ikan salarong yang hanya terdapat di beberapa sungai di Sabah.

“Sabah mempunyai 654 kawasan tagal membabitkan 232 sungai, termasuk 43 tagal kategori Memorandum Persefahaman (MoU).

“Bagi kawasan Pensiangan dan Pagalungan pula, terdapat 21 tagal tradisi, manakala Tagal Kampung Sosogoh berjaya dibangunkan sebagai tagal eko-pelancongan,” katanya.

Selain itu, Jabatan Perikanan Sabah memperkukuh pelaksanaan sistem tagal menerusi pendekatan perkongsian pintar bersama komuniti tempatan serta pengezonan kawasan tagal bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan dan pemuliharaan sumber perikanan sungai.

“Sistem tagal yang diamalkan secara turun-temurun oleh masyarakat tempatan dilaksanakan berlandaskan adat kampung, undang-undang adat Mahkamah Anak Negeri serta Enakmen Perikanan Darat dan Akuakultur Sabah 2003,” jelasnya.

Selain memulihkan sumber ikan, sistem tagal menjamin sumber makanan masyarakat luar bandar dan pedalaman yang bergantung kepada ikan sungai sebagai sumber protein utama.

-RJ-

 

Tinggalkan komen anda