
Laporan/foto: Awangku Marzuki Ag Latip/Hendry Nurdin(Tawau)
TAWAU, 26 Jun (MalaysiaAktif)– Semangat hijrah perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian melalui pengorbanan, integriti dan pelaksanaan amanah dengan penuh tanggungjawab.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah menjadi pedoman penting kepada umat Islam
Merangkap ADUN Apas, Nizam percaya peristiwa itu wajar dijadikan pedoman bagi melakukan perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik dan melahirkan masyarakat cemerlang serta diredai Allah SWT.
“Hijrah mengajar setiap perubahan memerlukan perjuangan dan pengorbanan bagi memperbaiki diri daripada keadaan kurang baik kepada yang lebih baik.
“Nilai-nilai murni yang dibawa Rasulullah SAW seperti amanah, kejujuran, saling menghormati dan memperkukuhkan silaturahim perlu diamalkan dalam semua bidang pekerjaan serta kehidupan bermasyarakat.
“Konsep Malaysia MADANI yang diperkenalkan kerajaan juga selari dengan ajaran Islam yang menekankan pembinaan masyarakat berakhlak mulia, bersatu padu dan bertanggungjawab.
“Apabila konsep Madani kita hayati dalam kehidupan, insya-Allah kita bukan sahaja memperoleh kejayaan di dunia dan di akhirat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perhimpunan Tahun Baharu Islam Maal Hijrah 1448H/2026M Peringkat Perbandaran Tawau di Masjid Al-Kauthar, di sini hari ini.
Beliau turut menyeru pemimpin masyarakat, penjawat awam dan seluruh rakyat agar melaksanakan amanah dengan penuh keikhlasan demi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan sebaik mungkin.
“Laksanakanlah amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik-baiknya demi mencari keredaan Allah SWT serta memastikan segala perancangan dan hala tuju kerajaan dapat dinikmati rakyat hingga ke peringkat akar umbi,” ujarnya.
Majlis anjuran Badan Dakwah Daerah Tawau dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) itu turut menghimpunkan pemimpin masyarakat, penjawat awam serta umat Islam sekitar daerah Tawau bagi mengimarahkan sambutan Tahun Baharu Islam 1448 Hijrah.
-RJ-





