Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPutrajaya

Pelabuhan Persekutuan Pamer Rekod Operasi Membanggakan Ketika Tekanan Krisis Bekalan Global – Fahmi

By 17 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Faizal Nazmi/JAPEN

PUTRAJAYA, 26 Jun (MalaysiaAktif) – Pelabuhan Persekutuan tetap merekodkan prestasi operasi yang membanggakan meskipun ketika berdepan krisis bekalan global, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata bagi suku pertama 2026, Pelabuhan Persekutuan merekodkan pengendalian 8,002,113 unit kontena bersamaan 20 kaki (TEU).

Angka itu katanya meningkat sebanyak 8.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Ini didorong peranan negara sebagai penghubung utama bagi barangan dunia melalui aktiviti pemunggahan pindah kapal yang mencatat pertumbuhan 0.96 peratus berbanding suku pertama 2025,” katanya pada sidang media mingguan, di sini hari ini.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata kargo konvensional turut menunjukkan peningkatan 2.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu terutama bagi kargo am iaitu yang meningkat 8.93 peratus dan kendalian pukal kering (3.55 peratus).

Sementara itu, Fahmi memaklumkan dapatan daripada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Pindaan Perlembagaan berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan berkaitan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya telah dipertimbangkan.

“Insya-Allah dalam masa tidak terlalu lama, dalam sidang Parlimen ini, pihak Kerajaan sedia untuk membawa (dapatan) untuk dibahas dan diluluskan.

“Ini merupakan satu usaha reformasi besar yang mana pihak Kerajaan dan Jemaah Menteri komited untuk melaksanakannya,” katanya.

Beliau berkata Jemaah Menteri dalam mesyuarat hari ini turut meneliti maklum balas Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) agar tempoh bayaran syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan bagi kerja yang dilakukan vendor tempatan dipendekkan.

“Ini bagi memastikan syarikat atau vendor tempatan…dari segi aliran kewangan ataupun cash flow dapat diuruskan dengan lebih baik,” katanya.

Beliau turut memaklumkan satu Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan diadakan awal minggu hadapan bagi membincangkan penyelesaian terbaik berhubung isu pekerja asing di Malaysia termasuk dalam sektor makanan dan minuman.
-FN

Tinggalkan komen anda