Skip to main content
Berita TempatanSarawak

50 Penerima Golongan Rentan Terima Bantuan Ihsan Food Bank KPDN

By 53 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)

SRI AMAN, 26 Jun (MalaysiaAktif) – Seramai 50 penerima daripada golongan rentan menerima bantuan bakul makanan menerusi Program Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sri Aman semalam.

Program kebajikan yang berlangsung di Masjid Nahdatul Islam Kampung Tanjung Bijat itu dilaksanakan bagi membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat selain memperkukuhkan semangat keprihatinan masyarakat.

Ketua Cawangan KPDN Sri Aman, Qartinee Mohamad Esa berkata inisiatif tersebut menggariskan tiga komponen utama iaitu Santuni Komuniti, Sayangi Alam dan Selamatkan Makanan yang menjadi teras pelaksanaan program.

“Melalui komponen Santuni Komuniti KPDN berusaha menyemarakkan nilai ihsan dan belas kasihan dalam kalangan masyarakat dengan menggalakkan pelbagai pihak bersama-sama menyalurkan bantuan makanan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Qartinee berkata usaha tersebut bukan sahaja membantu memenuhi keperluan asas penerima, malah dapat mengurangkan tekanan kos sara hidup yang semakin mencabar melibatkan perbelanjaan makanan harian.

Beliau menjelaskan inisiatif berkenaan turut memberi penekanan terhadap usaha menyayangi alam sekitar melalui pengurusan lebihan makanan secara lebih sistematik serta bertanggungjawab.

Peningkatan sisa makanan yang tidak terkawal katanya boleh menyumbang kepada pertambahan sisa pepejal yang memerlukan kos pengurusan tinggi dan membuka keperluan kepada lebih banyak tapak pelupusan sampah.

“Melalui konsep Sayangi Alam dan Selamatkan Makanan, masyarakat dididik agar lebih peka terhadap kepentingan mengurangkan pembaziran makanan serta memanfaatkan lebihan makanan,” ujarnya.

Langkah ini katanya bukan sahaja membantu golongan kurang berkemampuan, malah turut menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar dan pengurangan kesan negatif terhadap kualiti persekitaran.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan agensi berkenaan dalam memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial masyarakat melalui kerjasama strategik pelbagai pihak.

KPDN Cawangan Sri Aman menegaskan  untuk terus melaksanakan pelbagai inisiatif yang mampu memberi manfaat langsung kepada kebajikan rakyat setempat.

-RJ-

Tinggalkan komen anda