
Laporan/Foto: Salleh Immun (Mukah)
PUTRAJAYA, 26 Jun (MalaysiaAktif) –Pendidikan anak-anak luar bandar di Sarawak terus diperkukuh menerusi pelaksanaan Tabung Pendidikan Matadeng Mukah yang diinisiatifkan oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
Melalui tabung itu, pelbagai bentuk bantuan kewangan dan sokongan pembelajaran dijangka disalurkan kepada pelajar yang layak untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Perkara tersebut dimaklumkan dalam kunjungan hormat wakil SEB yang diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri Balingian Abdul Yakub Arbi kepada Timbalan Menteri Kesihatan Dato Hanifah Hajar Taib, di sini hari ini.
Pihak SEB memaklumkan penubuhan tabung tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen syarikat dalam memastikan pembangunan komuniti dilaksanakan secara menyeluruh dan mampan di kawasan operasinya.
Hanifah menyambut baik pelaksanaan inisiatif tersebut dan menzahirkan penghargaan kepada SEB atas komitmen berterusan menyokong pembangunan pendidikan masyarakat setempat.
“Pelaburan dalam pendidikan bukan sahaja memberi manfaat kepada individu, malah mampu mengubah masa depan sesebuah keluarga dan komuniti secara keseluruhannya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Hanifah, usaha seperti Tabung Pendidikan Matadeng amat penting bagi memastikan tiada anak-anak yang tercicir daripada mendapatkan peluang pendidikan yang sewajarnya.
“Anak-anak di kawasan Matadeng mempunyai potensi besar untuk berjaya sekiranya diberikan peluang, bimbingan dan sokongan yang mencukupi,” katanya.
Beliau menjelaskan pendidikan merupakan aset paling bernilai dalam membentuk modal insan berkualiti serta menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat pada masa hadapan.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan sentiasa menyokong usaha memperluaskan akses pendidikan khususnya di kawasan luar bandar yang berdepan pelbagai cabaran kemudahan serta sumber pembelajaran.
Turut serta dalam delegasi kunjungan tersebut ialah Pengurus Besar Social Impact Management SEB Jiwari Abdullah dan Pengurus Centre of Excellence, Social Impact Management SEB Bit Surang.
-RJ-




