Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Karnival Ceria Simpan SSPN Pupuk Budaya Menabung, Erat Hubungan Komuniti

By 5 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Muhammad Zayed Barak (Timur Laut)

AYER ITAM, 28 Jun (MalaysiaAktif) – Karnival Ceria Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bukan sekadar menyajikan pelbagai aktiviti riadah untuk seisi keluarga, malah berjaya menyemai kesedaran mengenai kepentingan literasi kewangan dan budaya menabung dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.

Program anjuran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang berlangsung di Ruang Legar B1, Sunshine Central Pulau Pinang, di sini semalam mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung.

Pelbagai pengisian menarik disediakan termasuk pertandingan mewarna bagi kategori tadika dan sekolah rendah, slot literasi kewangan, persembahan tarian, pertandingan teater pendek, mini petting zoo serta pelbagai aktiviti interaktif lain.

Karnival itu turut menjadi medium pendidikan kepada ibu bapa dan anak-anak mengenai kepentingan merancang kewangan serta membudayakan amalan menabung sejak usia muda melalui pendekatan yang santai dan menyeronokkan.

Menurut salah seorang pengunjung yang ditemui, Zulkarnain Md Zain, 41, aktiviti seperti pertandingan mewarna, persembahan dan permainan interaktif dapat mengasah kreativiti serta meningkatkan keyakinan anak-anak.

“Sebagai ibu bapa, kami berasa gembira kerana dapat meluangkan masa bersama anak-anak dalam suasana yang ceria dan bermanfaat,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Normah Amad, 37, berkata penganjuran program seumpama itu memberi nilai tambah kepada pembangunan sahsiah kanak-kanak di samping meningkatkan kesedaran mengenai pengurusan kewangan sejak kecil.

“Program seperti ini sangat baik kerana bukan sahaja memberi ruang kepada anak-anak untuk menyertai aktiviti yang menyeronokkan, malah turut memberi pendedahan tentang kepentingan menyimpan dan mengurus kewangan sejak usia muda,” katanya.

Karnival tersebut turut berperanan mengeratkan hubungan komuniti apabila menghimpunkan keluarga, kanak-kanak dan masyarakat setempat dalam suasana harmoni menerusi pelbagai aktiviti yang menggalakkan interaksi serta penyertaan aktif.

Penganjuran program seumpama ini diharap dapat diteruskan bagi memperkukuh budaya menabung, meningkatkan kesedaran literasi kewangan serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.

-AA-

Tinggalkan komen anda