Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanMelaka

TVET Semakin Diterima Sebagai Laluan Utama Kerjaya Masa Hadapan

By 4 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: M Zakry Chan/Politeknik Merlimau

MERLIMAU, 28 Jun (MalaysiaAktif) – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini semakin mendapat keyakinan masyarakat khususnya dalam kalangan generasi muda apabila dilihat sebagai laluan pendidikan strategik bagi membina kerjaya masa hadapan.

Perubahan persepsi terhadap bidang berkenaan turut dapat dilihat menerusi pendaftaran pelajar baharu sesi I 2026/2027 di Politeknik Merlimau Melaka (PMM) yang menyaksikan seramai 1,310 orang pelajar mendaftar pada 22 Jun 2026.

Jumlah tersebut turut melibatkan 133 orang pelajar Asasi Teknologi Kejuruteraan yang telah mendaftar pada Khamis lalu, menjadikan jumlah keseluruhan pelajar baharu yang diterima masuk ke PMM bagi sesi ini seramai 1,443 orang.

Menurut Pengarah Politeknik Merlimau Melaka, Norizam Sekak, peningkatan jumlah kemasukan pelajar baharu itu mencerminkan perubahan persepsi masyarakat terhadap bidang TVET yang kini dilihat sebagai pilihan utama dalam membina kerjaya masa hadapan, bukan lagi sebagai pilihan kedua.

“TVET bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya merupakan laluan pendidikan strategik yang mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, inovatif dan memenuhi kehendak industri.

“Permintaan terhadap graduan berkemahiran semakin meningkat dan ini membuktikan bahawa bidang TVET mempunyai nilai serta prospek kerjaya yang sangat luas,” katanya.

Sambutan menggalakkan terhadap bidang TVET terus memperlihatkan peningkatan keyakinan masyarakat terhadap peranan politeknik sebagai institusi peneraju dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi, kompeten serta bersedia memenuhi keperluan industri semasa dan masa hadapan.

-AA-

Tinggalkan komen anda