Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanMelaka

Pengumpulan Minyak Masak Terpakai Galak Komuniti Lestarikan Alam Sekitar

By 12 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Muhammad Fakhri/Muhammad Hafidzul (Alor Gajah)

ALOR GAJAH, 28 Jun (MalaysiaAktif) – Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sutera/Taman Mutiara berjaya memperkukuh amalan pengurusan sisa secara lestari dalam kalangan komuniti setempat apabila kira-kira 35 keluarga menyertai inisiatif tersebut.

Program yang diadakan di Dewan KRT Taman Sutera itu turut mendapat sambutan daripada penduduk sekitar Bandar Alor Gajah sebagai usaha menggalakkan pengumpulan minyak masak terpakai bagi mengelakkan pencemaran alam sekitar akibat pembuangan secara tidak terkawal.

Menurut Pengerusi KRT Taman Sutera/Taman Mutiara merangkap Sidang Kampung Kelemak, Mas Fairuz Kamarudin, program ini dianjurkan bagi menyokong usaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam memupuk amalan pengurusan sisa yang lebih lestari, khususnya melalui pengumpulan minyak masak terpakai.

Beliau berkata, pembuangan minyak masak ke dalam longkang atau sistem saliran boleh mencemarkan sumber air, menyumbat saluran serta menjejaskan ekosistem.

“Justeru, program ini bukan sahaja membudayakan amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat, malah membantu menjadikan minyak masak terpakai sebagai sumber yang boleh dimanfaatkan semula, termasuk bagi penghasilan produk berasaskan tenaga boleh diperbaharui.

“Saya berharap lebih ramai penduduk serta pelbagai pihak akan bersama-sama menyokong program seumpama ini agar usaha memelihara alam sekitar dapat diperkasakan, sekali gus mewujudkan komuniti yang lebih bertanggungjawab, bersih dan mampan untuk generasi akan datang,” ujarnya ketika ditemui semalam.

-AA-

Tinggalkan komen anda