
Laporan/foto: Matsukarmi Suani (Balingian)
BALINGIAN, 28 Jun (MalaysiaAktif) – Kepesatan era digital dan arus kemodenan yang melanda ketika ini tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengetepikan keunikan adat resam lama, sebaliknya ia perlu dipertahankan sebagai benteng jati diri masyarakat tempatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, penganjuran program tradisi seperti ‘Aram Begulai’ (Mari Berkumpul) di Kampung Lintang di sini, bertindak sebagai jambatan penting bagi memastikan warisan budaya dan nilai murni masyarakat terus subur serta tidak lenyap ditelan zaman.
Program kemasyarakatan sebegitu katanya bukan sekadar platform untuk berseronok atau meraikan kepelbagaian kebudayaan, tetapi merupakan wadah utama bagi melatih dan mendidik generasi muda, khususnya generasi Z agar mengenali seterusnya menghargai asal-usul mereka.
“Nilai-nilai murni seperti saling membantu, mengambil berat antara satu sama lain dan sikap hormat-menghormati perlu terus dipelihara. Ini penting demi memastikan warisan budaya serta jati diri masyarakat dapat diwariskan dengan sempurna kepada generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Aram Begulai Ba’ Kampung Lintang Balingian, yang dihadiri oleh ratusan penduduk daripada pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana penuh muhibah dan harmoni di sini, semalam.
Beliau menyeru seluruh komuniti setempat agar menjadikan pengisian program berkenaan sebagai titik tolak untuk mengekalkan amalan tradisi, di samping sentiasa bekerjasama dalam memacu pembangunan Kampung Lintang ke arah sebuah kawasan yang maju, aman dan sejahtera.
Program yang berlangsung sepanjang hari itu diakhiri dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan pengisian kebudayaan interaktif, yang berjaya menonjolkan semangat kebersamaan serta keunikan identiti tradisi penduduk tempatan.




