
Laporan/foto: Barina Nani/Mohamad Farid Izwan (Sarawak)
TEBEDU, 28 Jun (MalaysiaAktif) – Kepelbagaian kuih tradisional yang masih dihasilkan masyarakat Bidayuh di Kampung Mujat terus dipelihara sebagai warisan kulinari turun-temurun selain menjadi hidangan yang mengeratkan hubungan kekeluargaan serta kejiranan.
Antara kuih yang masih menjadi pilihan penduduk ialah kuih keping, kuih cap dan kuih jala yang dihasilkan mengikut resipi tradisi bagi memastikan identiti kulinari masyarakat setempat terus diwarisi oleh generasi akan datang.
Pembuat kuih, Francesca Santoi, 48, berkata kuih keping sering disediakan untuk dinikmati bersama keluarga selain dihidangkan kepada tetamu yang berkunjung ke rumah.
“Bahan-bahan untuk membuat kuih keping ini biasa sahaja iaitu tepung pulut, kelapa parut kering, gula apong dan air yang diadun bersama.
“Rasa dan rupa kuih keping ini lebih kurang seperti dinuh yang terkenal dalam masyarakat Orang Ulu, cumanya di Kampung Mujat bentuknya sedikit leper dan bulat sehingga ada yang menggelarnya kuih ‘telinga’,” katanya ketika ditemui di Kampung Mujat, di sini kelmarin.
Menurut Francesca, kuih itu suatu ketika dahulu hanya disediakan ketika ritual berdukun atau untuk tujuan perubatan mengikut kepercayaan lama.
“Jika dahulu, kuih ini tidak digoreng menggunakan minyak seperti sekarang, sebaliknya dibakar di atas bara kayu supaya rangup di luar namun masih kenyal apabila dimakan,” katanya.
Seorang penduduk, Rogina Ligum, 52, berkata kuih cap mempunyai keunikan tersendiri apabila dikenali sebagai kuih ‘lubang hidung’ dalam kalangan masyarakat Kampung Mujat.
“Ramai mengenali kuih ini sebagai kuih ros atau kuih cap, namun kami di Kampung Mujat lebih sinonim menggelarnya kuih ‘lubang hidung’ dan identiti ini hanya dikenali di sini,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, pembuat kuih, Zakiah Takor, 54, berkata penghasilan kuih jala yang rangup memerlukan teknik penyediaan yang betul walaupun menggunakan bahan yang ringkas.
“Kuih jala ini tidak seperti penyaram walaupun campurannya hampir sama iaitu gula apong, tepung beras dan sedikit gula pasir serta dimasak dengan daun pandan untuk menaikkan harumannya.
“Kalau campuran ini dibiarkan lama sebelum dimasak, ia akan menyebabkan kuih menjadi berminyak dan tidak rangup,” katanya.
Penyediaan kuih tradisional di Kampung Mujat bukan sekadar memenuhi meja hidangan, malah menjadi usaha masyarakat Bidayuh memelihara warisan budaya melalui resipi, teknik penyediaan dan kisah di sebalik setiap kuih agar terus kekal relevan untuk generasi akan datang.
-RJ-





